Pages

Sunday, 17 June 2012

BERLAPANG DADA

"Daripada Saiidina Umar ra. beliau berkata : Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah (ﷺ) pada suatu hari, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak padanya kesan-kesan musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi (ﷺ) dan menemukan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan padaku tentang lslam. Lalu Rasulullah (ﷺ)  bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan sembahyang, berzakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah sekiranya berkuasa. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.  Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: lman itu ialah percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat serta percaya kepada Qadar (baik dan buruk). Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda: Ihsan itu bila engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang kiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: Apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan.  Lelaki itu berlalu, aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai Umar! Tahukah engkau siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu".

[HR Muslim]


Islam, Iman dan Ihsan. Jika tiada salah satu dari yang disebutkan ini, maka tidak sempurnalah agama dalam diri seseorang. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam yg 5, menyempurnakan tuntutan rukun Iman (6 perkara) dan ada sifat Ihsan. lslam tidak sempurna kalau hanya diambil suku, separuh waima tiga perempat. Malah, ia bukan sekadar menyempurnakan Rukun Iman dan rukun Islam secara zahirnya sahaja, atau batin semata-mata. Tetapi kedua-duanya. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya. Iman terbahagi kepada beberapa taraf, dan setiap individu pasti akan tergolong dalam salah satu daripada 5 taraf iiman ( Iktiqad, Ilmu, 'Ayan, Haq dan Hakikat). Berada dalam tahap satu kelompok iman yang sama belum tentu memungkinkan individu mempunyai kedudukan dan tahap iman yang setara. Secara mudahnya;  iman manusia biasa seperti kita ini ibarat graf sinusoidal - ada high and low peaks (bergelombang). Ada turun dan naiknya. Tidak seperti iman para malikat yang kekal static/stagnant  pada satu takat mahupun bersamaan dengan iman para Nabi dan Rasul yang sentiasa meningkat dan berkadar langsung. Lebih malang jika kualiti iman itu menurun atau berkadar songsang dengan masa, inilah yang berlaku pada golongan fasik yang mana analogi mudahnya seperti kata-kata hikmat yg sering kita dengar " jika hari ini lebih buruk dari semalam - maka celakalah ia".  Sama-samalah kita memuhasabah diri serta mempertingkatkan keimanan. Dan perlu kita ingat bahawa iman boleh terbatal samada secara sedar atau tanpa kita sedari melalui i'tikad, perkataan mahupun perbuatan. Sejauh mana sensitiviti iman kita dan dimanakah tahap iman kita sekarang?, hanya diri masing-masing yang mampu menilai dan mempunyai jawapannya. Tepuk dada, tanya iman!!
Hadith ke 31

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ
جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ

"Daripada Abu al-’Abbas Sahlu ibn Sa’ad al-Saa’idie r.a. beliau berkata:
Seorang lelaki telah datang menemui Nabi  (ﷺ) lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu".

Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia. Namun, zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. Jangan ada hasad. lni bukanlah bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang dan merasa senang melihat kesusahan orang lain. Ini adalah hasad dengki yang amat dilarang. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia tetapi bersifat tidak menjadikan dunia dan kemewahan sementara sebagai matlamat hidup. Ini kerana di zaman Rasulullah (ﷺ) juga wujud jutawan masyhuri Abdul Rahman 'Auf. 

"Naa... apa pentingnya zuhud dalam kerukunan rumah tangga?? apa perlunya zuhud terhadap milik manusia dengan rumahtangga yang melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan?" 

Secara umumnya, seseorang lelaki atau perempuan itu akan berkahwin dengan orang yang dicintainya. Tentunya telah terbit perasaan cinta dalam hati individu tersebut hingga mencetuskan rasa untuk memiliki calon dihadapannya.

Secara fitrahnya, yang berkahwin itu adalah setelah didorongi rasa cinta dan suka. Bagaimana atau mengapa kita mencintai si 'dia'.. ia mungkin disebabkan perkara yang sangat simple atau mungkin juga perkara yang sangat rumit yang tidak pernah kita lihat ada pada orang lain, tapi hanya dia saja yang memiliknya lantas membuatkan kita suka padanya.

"Dia mungkin cantik, kurus, tinggi.."
 "Mungkin juga ada 6 packs!"
''Mungkin juga kerana dia kaya.. anak hartawan.. berkerjaya'

Semua ini mengikut rasa si-pecintanya!

Namun, jika itulah yang menjadi asas seseorang lelaki atau perempuan menyukai pasangannya, apakah yang bakal terjadi jika 'sebab' sukanya itu semakin pudar dan hilang? Apa akan jadi bila satu masa pasangannya hilang kerjaya?Adakah kita masih tegar mencintainya? atau kita akan mencari individu lain yang memliki ciri-ciri asal penyebab kita cintakan dia dahulu?? Maka, sebab itulah Nabi (ﷺ) telah pun memberi peringatan:
"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”.[HR Bukhari dan Muslim]
Jika seseorang itu dinikahi kerana sifat atau kelebihan dan kecantikannya yang sementara, sementelah segalanya akan berubah dek peredaran masa, adakah rasa yang ada masih kekal sama? Atau perasaan kita masih kekal sama cuma keinginan untuk mencari pengganti dengan sifat yang dicintai mula menular dalam diri? Atau, mungkin diperingkat awal, segala yang terzahir hanyalah yang baik-baik aje, hari demi hari character sebenar pasangan mula terbit, jika ini terjadi dan sikapnya itu tidak boleh diterima pasangan, apakah yang akan terjadi? Maka perlu angkat tangan atau angkat kaki? JANGAN. JANGAN SEKALI-KALI!!. banyak lagi cara untuk memperbaiki diri kita dan pasangan. Disinilah zuhud itu perlu. Kosongkan hati dengan kelebihan yang ada pada insan lain, jauhkan perasaan iri hati. Jangan dibanding-bandingkan pasangan kita dengan pasangan orang lain!! JANGAN!! Bila tidak ada zuhud dalam diri, mudahlah hati berprasangka dan menanam rasa rihati, menyesal dan benci.

"Kalau dulu cinta luar biasa hingga hujung rambut, kini benci luar biasa hingga hujung kaki"

Sudahlah tidak mencintai, kini dibenci pula. Betapa malanglah pasangan yang jatuh cinta disebabkan faktor yang bisa pudar ditelan masa. Namun pesanan buat kita yang rasa cintanya memudar selari dengan perubahan fizikal atau karakter yg berkadaran langsung dgn masa.. kawallah perasaan. Jika tidak mencintai, memadailah kita tidak membenci dan menzaliminya. Kalau diberi scale 1 (sangat benci)-14 (cinta sepenuh hati), neutral kan rasa anda. Biarlah sekadar 7 (tak berperasaan), asal kita tidak menzaliminya. 

"Namun bagaimanakah untuk mengekalkan rasa pada scale 8 dan ke atas??"
  
Itulah perlunya QANA'AH.
Qana'ah itu adalah sifat/perasaan yang ada pada seseorang individu. Sifat yang sentiasa merasa apa yang ada padanya sudah cukup dan memadai. Tak perlu mengejar atau mewujudkan persaingan untuk memiliki lebih dari individu lain. (Ini terkecuali dalam ibadah dan amal soleh demi meraih shurga Ilahi). Yang mana dalam surah Al-Baqarah, Allah berfirman:

  فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ أَيۡنَ مَا تَكُونُواْ يَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬

Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[al-Baqarah;148] 
Sekali lagi kita dipertemukan dengan penegasan agar berlumba-lumba dalam mengerjakan amal soleh sebagaimana firman Allah swt:

  سَابِقُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُہَا كَعَرۡضِ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ أُعِدَّتۡ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ‌ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ
Berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
[al-Hadid; 21]
Qana'ah ringkasnya ialah menerima dengan cukup. Seseorang dikatakan Qana'ah bila dapat menerima dengan rela dan sabar akan apa yang dimiliknya setelah berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Juga tidak mudah atau tertarik dengan kecantikkan dunia. Sikap menerima dengan rela apa yang ada bukanlah simbol kepada patah semangat untuk berusaha tapi ia lebih bertujuan mendidik supaya kita sentiasa rasa bershukur atas kurniakan Allah.

Rasulullah (ﷺ) bersabda: 
“Qana'ah itu adalah harta yang tak akan hilang dan simpanan yang tidak akan lenyap”.
[HR Thabrani].
 Dalam riwayat lain; 
“Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” [HR Bukhari dan Muslim] 
Dari kedua-dua hadith diatas disimpulkan bahawa orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan qana'ah itulah kekayaan sebenar bila mana diri sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Tidak merasa haloba dan cemburu, dan bukan yang meminta-minta dan bukan yang sentiasa mahukan tambahan. Contoh mudah (moga Allah jauhkan saya dari sifat riak),  saya ada sebiji kereta. Kereta Kancil WKA9135. Kaler Silver yang saya miliki sejak di Tahun 2 semasa menuntut pengajian Sarjana Muda di universiti. Bila melihatkan rakan-rakan lain memandu kereta Honda, Toyota segala, terlintas juga dihati untuk memiliki kereta jenama antarabangsa. Bukan saya tidak mampu, tapi bila difikirkan semula, ada tuntutan lain yang lebih utama. Maka saya pasrah dan berbangga aje dengan si Kancil Tua. Alhamdulillah, rakan-rakan tidak lokek menumpangkan saya dengan kereta mewah mereka, merasalah saya duduk di kerusi empuk kereta mereka kikiki :D. Haa.. ini contoh sekecil-kecil sifat qana'ah. Yang mampu dipupuk oleh ramai orang.

Lagi berkenaan qana’ah, Rasulullah (ﷺ) bersabda:  
"Sesungguhnya beruntung orang yang sudah masuk Islam, yang rezekinya mencukupi (tidak berlebihan) dan yang Allah menjadikannya qana’ah (kepuasan) dengan apa diberikan kepadanya".[HR Muslim]
Dalam riwayat lain, Rasulullah (ﷺ) bersabda; 
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ, وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ, فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

"Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi daripada kamu. Itu lebih baik supaya kamu tidak memperlekeh nikmat yang diberikan Allah s.w.t. kepada kamu".
[HR Bukhari dan Muslim]
Siapapun yang ingin meraih ketenangan jiwa, kedamaian hati, maka qana’ahlah jalannya. Kerana sesungguhnya, ketenangan hati ada dalam sedikitnya keinginan.  Bila kita ingin meraih ketenangan hidup, marilah kita qana’ah terhadap pemberian dan pengaturan-Nya.

Berbalik kepada konteks pasangan dalam rumahtangga, setelah lama tinggal bersama, sifat asal pasangan yang dulu disembunyikan akan terpamer. Akan ada perasaan merasakan tidak lagi serasi dan sesuai dengan pasangan walau hanya disebabkan sekecil-kecil perkara, kesalahan besar apalagi mudah aja melentingnya!. Maka dsini pentingnya sifat qana'ah. Terima keadaan pasangan seadanya, jangan terlalu menuntut. Bila lihat isteri orang lain, lebih cantik, jangan dibandingkan dengan kelemahan isteri kita yang tidak suka bergaya. Jika lihat suami orang lain berkerjaya hebat, berkereta mewah.. bershukurlah yang Allah temukan jodoh kita dengan seseorang yang mampu memberikan nafkah yang sempurna untuk kita. jangan terlalu menuntut sesuatu yang barangkali diluar kemampuan pasangan. Dan jangan over expect. Cubalah untuk expect unexpected. Ini akan menjadikan pasangan lebih menyukai kita. Sifat qana'ah ini mampu membendung kita dari menyimpan perasaan benci. Jika kita tidak lagi menyukai pasangan setelah memperbandingkannya dengan orang lain, cukuplah sekadar tidak menyukainya tapi jangan sampai membenci. Kerana awalnya.. dia yang kita cari!!


Berbalik kepada hadith pembukaan di atas yang terkait zuhud. Ia adalah sebenarnya jalan atau kaedah bagi seseorang menuju qana'ah.

Rasulullah (ﷺ) menegaskan, 
لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنَّ لَهُ وَادِيًا آخَرَ وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ وَاللَّهُ يَتُوبُ عَلَى مَنْ تَابَ

“Sekiranya seseorang mempunyai satu lembah emas pasti dia lebih suka untuk memiliki satu lembah emas yang lain lagi dan tidak akan memenuhi mulutnya kecuali tanah dan Allah s.w.t. menerima taubat orang yang mahu bertaubat”.

[HR Muslim]
Dalam hal ini, hadith ini menjelaskan bahawa tidak ada jalan untuk memperolehi kerehatan di dunia melainkan dengan sifat qana’ah, dan tidak akan tercapai qana’ah melainkan dengan mengurang حرص  (kesungguhan dan ketamakan mencari dunia). Dan tidak akan kurang hirs (حرص)itu melainkan dengan beramal dengan hadith ini. Sesiapa yang mula memandang kepada orang yang diberikan kelebihan rezeki maka bertambah keinginan atau kerunsingannya, maka akan banyak kedengkian dan makin sedikit bershukur, adapun orang yang memandang kepada orang yang kurang daripadanya dari segi harta maka dia akan lebih banyak bershukur, bertambah kelapangan hatinya dan merasa cukup dengan pemberian Allah s.w.t kepadanya seperti dalam firman Allah swt;
  وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bershukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
[Ibraahim; 7]
Kalaupun setelah mencuba menerima kekurangan pasangan dan masih gagal lagi setelah habis-habisan mencuba.. janganlah terlalu cepat mengkritik tindak-tanduknya. Walau tidak suka sekalipun, cubalah diamkan dulu.. jangan terus ditegur kerana itu hanya akan menambah bencana. Mana mungkin dua insan dari latar belakang yang berbeza akan sama serba serbi dan bersetuju sentiasa dengan satu pendapat yang sama. Berfikirlah dulu sebelum mengeluarkan kata-kata yang tak banyak sedikit pasti menyinggung perasaan pasangan kita. Jangan digores-gores perasaannya yang telah sedia maklum bahawa kita tidak mempunyai perasaan suka atau sudah mula menyampah dengannya. (Bila scale berubah dari 7 kebawah). Renungkanlah hadith dibawah:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أَوْ لِيَصْمُتْ

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam".
[HR Bukhari dan Muslim]
Jangan dimarah-marah. Redakan perasaan. Kalau ada rasa benci, maka neutralkan dahulu. Apa yang ditakdirkan tentu saja ada hikmahnya disebaliknya. Dari asyik mengenang-ngenangkan kekurangan pasangan dan mencari kelemahannya, ada baiknya dibesarkan kelebihan yang sebesar debu itu. Moga bertaut semula rasa kesamaan dan saling menghargai antara pasangan. Zuhud dan qana'ah dalam diri setiap individu merupakan satu adunan lengkap bagi menjadikan kita sentiasa bershukur dan sentiasa nampak kelebihan yang ada pada pasangan. Biar orang lain tak jumpa. Biar orang lain kata tiada kelebihan pada pasangan kita. Kalau ditunjuk-tunjuk, bimbang berebut pula dia dengan kita nanti. Cukuplah kita yang merasa dan menikmatinya. Oleh itu.. moga dengan qana'ah, kita semua berjaya meraih kebahagiaan di dunia dan juga kesejahteraan di akhirat kelak.

Yakinlah dengan janji Allah : 
فَٱذۡكُرُونِىٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡڪُرُواْ لِى وَلَا تَكۡفُرُونِ

Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu dan bershukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur akan nikmatKu.
[al-baqarah; 152]
Maka nikmat Tuhan kamu yang mana satukah yang kamu dustakan?  [Ar-Rahman]

No comments:

Post a Comment