إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَہَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡہَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ ظَلُومً۬ا جَهُولاً۬Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah Kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Ingatlah sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.[al-ahzab; 72]
Dalam ayat diatas telah digambarkan bahawa Allah menawarkannya kepada langit, bumi, bukit serta gunung untuk memikul amanah. Namun kesemuanya menolak kerana bimbang tidak dapat memikulnya. Ditawarkan pula kepada manusia, lalu hanya mereka yang menyanggupinya. Kerana kebanyakan manusia itu jahil tentang beratnya amanah serta tidak melaksanakan amanah itu dengan sebaik-baiknya.
Pabila beroleh sesuatu jawatan, perkara pertama yang diucapkan adalah Tahniah. Berulang kali ucapan itu didengar. Rasa dihargai dan dipercayai walau tak banyak tetap ada bertunas dalam hati. Namun, apa yang dikhuatiri ialah rasa riak dan bangga diri muncul akibat bisikan-bisikan syaitan yang menyesatkan. Natijahnya, amanah atau tanggungjawab yang diberi tidak dilaksanakan dengan sempurna dek terbuai dan hanyut dengan ucapan-ucapan tahniah tadi. Lebih buruk lagi, atas kuasa yang diberi, dia memudharatkan pula orang sekeklilingnya. Jawatan samaada kecil atau besar adalah amanah. Apabila ditawarkan sesuatu jawatan maka nilailah keupayaan dan kebolehan diri. Mampukah kita memikul jawatan atau amanah yang diberi. Rasulullah saw bersabda
حَدَّثَنَا عَفَّانُ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ حَدَّثَنَا الْمُغِيرَةُ بْنُ زِيَادٍ الثَّقَفِيُّ سَمِعَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ"Tidak beriman orang yang tidak mampu menjaga amanah yang dibebankan padanya. Dan tidak beragama orang yang tidak mampu menepati janjinya".[HR. Ahmad bin hambal]
dalam riwayat lain;
”Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.”
[HR Ahmad dan Al-Bazzaar]
Apa yang boleh difahami dari pesan Rasulullah ini adalah kita wajib menunaikan amanah kepada yang berhak. Menunaikan dan menjaga amanah adalah sebahagian dari iman, dan bilamana sesiapa tidak menjaga amanat maka tidak sempurna iman dan agamanya. Terpatri dalam al-Quran juga ;
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَ
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya[an-Nisa’; 58].
Memegang amanah yang diberi kepada kita adalah bukti iman manakala mengkhianatinya adalah ciri kemunafikan. Dari zaman sekolah kita telah diterangkan ciri-ciri atau tanda orang munafik dimana bila diberi amanah ia khianat, bila berbicara ia berdusta, bila berjanji ia mungkar, dan bila bermusuhan ia melampau. Ini telah diterapkan sejak dari sekolah lagi, jangan sesekali kita lupa!
Manusia ini ada pelbagai karakter. Ada orang tabiatnya suka meminta-minta jawatan. Tak kurang juga yang melobi untuk sesuatu jawatan samada demi kepentingan bersama atau atas tujuan peribadi. Ada juga segolongan yang tidak mahu terbeban dengan jawatqan dan lebih memilih untuk beraksi sebgai 'saya yang menurut perintah' sahaja. Bila saya menolak untuk menerima sesuatu jawatan, ia bukanlah bermaksud saya ingin lari dari melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, tetapi lebih kepada rasa takut jika tidak dapat memikul amanah yang bakal digalas. Saya pernah terbaca tentang amaran Nabi agar berwaspada dalam menyerahkan sesuatu tanggungjawab kepada pihak yang tidak mampu atau pihak yang terlalu berminat untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
“Apabila disia-siakan amanah, maka tunggulah sa’ah (kehancuran). Baginda ditanya bagaimana mensia-siakan amanah itu? Jawab baginda maksudnya: “Apabila disandarkan sesuatu urusan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah sa’ah.”
[Sahih al-Bukhari]
Kegusaran saya dalam memikul amanah bukan sekadar takut dipersoalkan atau dipertikaikan beberapa pihak atas keputusan yang diambil atas kapasiti ketua. Tapi lebih dari itu. Apa yang perlu dipandang oleh seorang ketua bukan terhenti selepas keputusan dibuat bahkan impak atau kesan dan akibat daripada keputusan yang diambil perlu diperhalusi. Dalam surah Yaasin ayat ke12, Allah telah mengingatkan dengan firmanNya :
إِنَّا نَحۡنُ نُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَڪۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَـٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَىۡءٍ أَحۡصَيۡنَـٰهُ فِىٓ إِمَامٍ۬ مُّبِينٍ۬Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami tuliskan segala yang telah mereka kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan ingatlah segala sesuatu Kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu suratan) yang jelas nyata.[Yaasin; 12]
dalam surah al-mudathir, kita diingatkan lagi dengan perbuatan yang dilakukan;
كُلُّ نَفۡسِۭ بِمَا كَسَبَتۡ رَهِينَةٌ
Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya[al-muddastir; 38]
Dalam kedua-dua ayat diatas, secara mudahnya dapat difahami dari firmanNya bahawa setiap jasad bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya bukan saja atas kapasiti ketua, pemimpin atau pemerintah. Tapi seitap individu bertanggungjawab atas perbuatan dan perkataannya. Dan perlu diingati bahawa tanggungjawabnya tidak terhenti setakat apa yang dilakukannya tapi ia bertanggungjawab selama mana tindakannya berbekas. Mengambil contoh mudah, guru mengajar dikelas, tanggungjawab hakikinya selesai, namun ia masih bertanggungjawab keatas ilmu yang disampaikan. Ke jalan manakah ilmu itu dipraktikkan oleh pelajarnya? Begitu juga sebaliknya. Maka jelaslah disini bahawa orang yang berbuat baik atau berbuat jahat akan mendapat pahala atau menanggung dosanya ditambah dengan pahala atau dosa orang-orang yang meniru perbuatannya. Inilah antara penyebab sesetengah individu termasuk aya takut untuk menerima tanggungjawab memimpin sesebuah organisasi.
Berkongsi cerita mengenai saya. Sebetulnya saya sendiri tidak pernah meminta jawatan, selain jawatan hakiki- Pensyarah. Alhamdulillah, apa yang Allah anugerahkan setakat ini lebih dari memadai. Saya suka mengajar, dengan harapan ilmu yang saya sampaikan dapat digunakan dan dipanjangkan untuk kesejahteraan sejagat. Baru-baru ini saya diminta untuk memegang amanah yang saya rasa cukup berat dan besar. Sedari awal saya cuba menolaknya memandangkan saya kurang yakin dengan keupayaan diri dan bimbang tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Namun, setelah mengambil kata sepakat dari semua pihak dan atas rasa berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, saya terima amanah ini, insha Allah dengan harapan 'mereka' tidak akan membiarkan saya sendirian. Saya teringat cerita seorang ustaz berkenaan si Fulan yang meminta diberikan jawatan; katanya Rasulullah pernah diriwayatkan berkata kepada Abdurrahman Samrah :
”Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta jawatan (hendak jadi pembesar negara) kerana jika engkau diangkat kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali (tiada yang membantu). Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.”
Dan saya harap, iinilah yang akan terjadi ke atas saya. Setakat ini Alhamdulillah.. ramai yang nak membantu dari belakang. Ramai yang mengikat janji tidak membiarkan saya terkapai-kapai dan tenggelam berseorangan. Walaupun begitu, saya masih mengharap agar ada yang menegur jika saya melakukan kesilapan. Tidak kira siapapun anda, apapun jawatan serta status anda, berhak anda menegur kesilapan saya. Apapun jawatan saya, tetap ia milik Allah jua. Dialah empunya segala, kita hanya pelaksana. Marilah kita laksanakan segala amanahnya dengan rasa shukur dan rendah hati seperti peringatanNya;
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.[Ibraahim; 7]
Apapun, yang pentingnya di sini ialah setiap dari kita harus mengetahui, memahami dan mengamalkan segala pesanan dan peringatan Allah dan Rasul terhadap amanah yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya samada amanah terhadap Pencipta, diri sendiri mahupun individu lain. Setiap tanggungjawab perlu dilunaskan agar tidak merosakkan perjalanan hidup kita di dunia ini sekaligus memperlancarkan urusan kita di akhirat kelak. Insha Allah.
Akhir sekali, mari kita hayati maksud ayat dibawah ini.. (peringatan untuk diri saya sendiri)
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَخُونُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓاْ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).[al-anfaal; 27]
Wallahu 'alam.
Tarikh ini, saya diamanahkanmenjawat jawatan baru. Berat rasanya. Namun saya mohon pada Allah agar mudahkan laluan saya. Moga semua mendapat manfaat yang sama, insha allah
ReplyDelete