Hasan Basri ditanya : "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini?"

Beliau menjawab :
"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang. Aku tahu amalku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh. Aku tahu ALLAH Ta'ala selalu memerhatikanku, kerana itulah aku malu jika ALLAH melihatku sedang dalam maksiat. Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan ALLAH"..

Saturday, 16 June 2012

JANGAN MARAH!

“Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri, hendaklah dia duduk supaya hilang kemarahannya. Jika masih belum juga hilang marahnya, maka berbaringlah”.
[HR Ahmad & Abu Daud]  
“Sungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan diciptakan dari api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk”
[HR Ahmad & Abu Daud] 
Tapi, bagaimanakah saya mampu melegakan rasa marah'nya'? Adakah dengan memperingatkannya dengan kedua-dua pesan Nabi  (ﷺ)  diatas tatkala beliau sedang menyinga?? Saya sendiri terkedu dan terpana melihat beliau berubah menjadi sebegitu ‘Singa’. Tambah lagi ramai yang mengingatkan beliau bukan lah dari jenis yang menerima nasihat atau teguran. Serta merta saya teringat perbalahan antara sahabat Euthopia bernama Yasmin yang pernah bertelagah dengan seorang gadis dari Libya. Pesannya, "Hana.. remember, when someone yelling at you, control your anger thus say; 
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

"Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam"
[HR Bukhari dan Muslim]


Inilah nasihat Rasulullah (ﷺ) kepada dua orang yang saling mencela, tatkala seorang dari keduanya telah merah mukanya dan tegang urat merihnya. Dan Alhamdulillah, saya mampu mengawalnya walau bibir mengetap gigil. Hanya mereka yang ada bersama saja dapat melihat riak muka saya. [tenang-tak tenang-tenang] 
  
Sejak kebelakangan ni, saya gagal mengurus diri dengan baik. Waktu tidur, berjaga dan bekerja agak bercelaru. Pakai tudung pun dah senget macam ibu beranak 8 gayanya. Melihat rupa sendiri depan cermin pun kurang selera, apa lagi orang lain, dengan ekor mata pun belum tentu saya dijelingnya. Tak mengapalah.

Mengejar deadline untuk setiap task yang diberi adakala memberi tekanan. Erm lebih tepat, ia memang memberi tekanan. Namun Alhamdulillah, setakat ini saya tidak lagi melepaskan tekanan tersebut terhadap orang atau objek yang berada disekitar. Cuma kadang-kadang terlepas juga luahan rasa terkilan bila ada individu yang cuba-cuba menguji tahap kesabaran dan setia kawan.

Kebiasaanya saya hanya diperlihatkan dengan gelagat manusia dimarahi manusia lain. Saya tertanya-tanya, apalah salahnya si fulan sampai dimarah, diherdik begitu. Besar gamaknya kesalahannya. Apa yang terbit hanya rasa simpati. Tak tahu hujung pangkal, siapa benar siapa salah, saya hanya mampu bersimpati. Jika kita yang memandang dari jauh pun telah terbit rasa simpati, bagaimana agaknya perasaan si tukang marah yang berada sejengkal dengan makhluk yang dimarahinya??

Berbalik pada tujuan saya menulis malam ni, adalah sekadar meluahkan rasa terkejut saya bila melihat keadaan seorang sahabat (lebih tepat lagi, anak buah yang saya anggap sahabat). Bukan nasibnya yang malang kerana dimarahi, tapi wataknya yang sangat jengkel bila melepaskan rasa marahnya. Terjerit terpekik. Lagaknya macam duduk di dalam gua. Betul, saya terkejut dan terkedu. Dari seorang yang saya hormati kerana kelancaran tugas yang dijalankan, membuatkan saya rasa curiga dengan keihklasan beliau menjalankan amanah yang diberi padanya. Adakah ikhlas mencari redha Ilahi atau semata-mata kerana tuntutan duniawi?. Saya berdoa agar Allah membetulkan dan memberi petunjuk atas perjanjian asal kejadiannya di muka bumi ini. Ameenn. [peringatan untuk diri sendiri juga]

Betul, rasa marah itu perlu. Tapi alangkah baiknya jika kita mampu mengawalnya?!

Insan yang tidak ada rasa marah itu seorang yang malang. Tidak mempedulikan segala yang terjadi sekelilingnya. Tidak ada rasa marah bila haknya dipermain dan dipersendakan.  Inilah golongan تفريط (Tafrith=Cuai). Tidak pernah mengekpressikan rasa marah walaupun agama, pegangan dan peribadinya diperlekehkan. Mereka ini boleh dikatakan manusia yang hilang jati diri. Tidak mampu mempertahankan kebenaran. Malang. Memang mereka malang!! Sepanjang saya berkawan, belum ada lagi kawan-kawan saya dari golongan ini. Alhamdulillah, kawan-kawan saya dipelihara dari sifat tercela ini. Namun, kontradik dengan sifat diatas ini ialah manusia yang melampaui dalam meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya. Memarahi dan mencetuskan pertelingkahan melampau. Mereka hilang kawalan perasaan. Berkata-kata dalam nada yang tinggi dan kesat. Golongan  إفراط (Ifrath=Melampau)  ini jika tidak dikawal sifatnya  akan menimbulkan hasad. Dendam bermaharajalela selagi kemarahannya tidak reda. Namun, sebaik-baiknya adalah mereka yang bersederhana diantara keduanya;اعتدال (I’tidal=Moderate). Marahnya mampu dikawal akal dan iman. Sibuknya tidak hingga menyibuk. Lewanya tidak merugi.

Berbalik kepada tindakan anak buah yang saya ceritakan tadi.. Keterlaluan benar perasaan marahnya hari ini. Jujurnya, hilang rasa hormat saya pada dia yang berjawatan tinggi. Hilang juga sifat kelembutan seorang ibu dalam dirinya selama ini. Hancur harapan saya untuk sama-sama bergandingan dengan beliau dalam membina keharmonian dikalangan staf di sinii. Saya terkilan dan terkejut. Mujur Allah melindungi saya dari rasa benci. Apa yang menyebabkan beliau begitu marah saya kurang pasti. Namun sebesar mana sekalipun kesilapan orang lain, tak layaklah dia beremosi sehingga begitu sekali. TIDAK LAYAK sama sekali. Lagaknya bak singa betina kehilangan anak. Sekelip mata kebaikkannya hilang dari pandangan saya. Serta-merta rasa simpati menebak sanubari bila memikirkan latarbelakang beliau dan keluarganya. Jauh benar fikiran saya melayang semasa berhadapan dengannya tadi. Jauh. Benar-benar jauh. 

Saya bukanlah ustazah, dan bukan layaknya saya nak memberi tazkirah. Bagi lecture dalam kelas dah cukup untuk buat otak saya letih seminggu-mingguan, menulis disini pun ada juga letihnya, namun demi untuk mengingatkan saudara muslim yang saya kasihi, saya gagahkan juga menulis malam ni. Moga dapatlah kita sedikit manfaat dari perkongsian ni.

 Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran; 
 وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ

 ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.  Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.  [133-134]

Mudahnya disini, Allah sangat memuji mereka yang mampu mengawal rasa marah dan mampu memaafkan kesalahan insan lain. Keberupayaan menahan rasa marah adalah ciri insan yang bertaqwa. Tidak rugi kita membendung dan menahan rasa marah kerana Allah. Kejayaan juga sesungguhnya menanti orang-orang yang sabar. Rasulullah (ﷺ)  kemudian berpesan lagi;

"Sesiapa yang dapat menahan kemarahan padahal ia mampu untuk melaksanakannya, Allah akan memanggilnya di hadapan para makhluk sekalian pada hari qiamat sehingga Dia memilihkan bidadari buat orang itu menurut keinginannya".
[HR Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah]

Dari hadith diatas dihuraikan bahawa Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menahan marah dan memberi kemaafan dalam keadaan dia mampu bertindak sebaliknya. Namun jika seseorang itu  memberi maaf disebabkan kelemahan dan tidak mampu bertindak balas, tetap tidak ada nilainya di sisi Allah.

 Dari Abu Hurairah bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi (ﷺ), 
 أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ : لاَ تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَاراً، قَالَ: لاَ تَغْضَبْ
  Berkata ia:
  “ Berwasiatlah kepadaku”,
Lalu Nabi  (ﷺ) menjawab
  “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali
Nabi  (ﷺ)  menjawab:
  “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
 [HR al-lmam Bukhari]
Jelaslah di sini memberikan nasihat dan mengenal perbuatan-perbuatan kebajikan adalah perbuatan yang sangat dianjurkan dalam islam dan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin.Sungguhpun sifat marah terpuji itu perlu namun sifat marah yang terkeji itu tidak lain hanya membawa keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain. Elakkanlah diri dari dibelenggu perasaan marah juga perkara-perkara yang boleh mnedatangkan marah. Marah tidak hanya akan membinasakan diri sendiri. Marah itu dari syaitan, setiap mukmin hendaklah menjauhinya. Tahanlah marah. Sesungguhnya berdiam itu lebih baik dari meluahkan rasa marah yang akhirnya mempamerkan sifat buruk bila amukkan kecil mula terlihat. Anda akan kelihatan sangat buruk!! 

Oleh itu sahabat-sahabat seperjuangan, sejawatan, sepermainan.. dan semua sahabat yang saya kasihi..yang membaca tulisan saya ini. Manusia manakah yang tidak pernah marah?. Namun akal yang waras mampu mengawalkanya. Marilah kita berusaha mengawal rasa marah. Hiduplah dengan sifat marah i'tidal. Maafkanlah saudara kita atas kesalahan yang sebenarnya tak besar mana pun, kalau nak dibandingkan dengan jerkahan yang dilemparkan kemukanya. Ingatlah, kita hidup didunia ini bukan bersendirian.. ada insan yang perlu dijaga maruah dan airmukanya. Pesanan untuk saya, beliau dan juga semua; jika tidak ada rasa segan terhadap ketua.. semailah rasa kerjasama sesama rakan sejawat. Jika tidak boleh juga, memadailah dengan menyedari kewujudan seorang individu yang ada hati dan jiwa. Diamnya bukan beerti meng'iya'kan, tapi dek kerana ingatnya dia akan firman tuhan; 
فَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَىۡءٍ۬ فَمَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ وَأَبۡقَىٰ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّہِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

 وَٱلَّذِينَ يَجۡتَنِبُونَ كَبَـٰٓٮِٕرَ ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡفَوَٲحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُواْ هُمۡ يَغۡفِرُونَ

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja dan apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya.
[asy-shura; 36-37] 
Namun, peringatan buat beliau dan kita semua; Jika anda tidak mampu juga meletakkan hak individu tersebut pada tempatnya, janganlah berlagak angkuh dan sombong seperti yang tertulis dalam kitabNya; 
 وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا وَبِذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ

بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن ڪَانَ مُخۡتَالاً۬ فَخُورًا

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.
[an-nisaa'; 36]

Teringat pesan Ustaz Pahrol Juoi dalam Hatii Seorang Lelaki (kalau tak silap);

"Marah itu ibarat api di dapur hati, jangan terlalu.. nanti HANGUS; Jangan tiada..nanti DAYUS "

Penutup untuk tulisan saya pada kali ini, saya mohon sahabat-sahabat yang membaca, agar kita dapat sama-sama mendoakan kebaikkan buat beliau serta mereka yang kita kenal terkenal dengan sifat marahnya (Ifrath). Sifat marah mereka yang Allah murka, yang Nabi (ﷺ) larang dan yang kita meluat.

"Ya Allah, ampunilah dosanya, hilangkanlah rasa panas hatinya dan jauhilah dia dari syaitan terkutuk.. Ameen"

wallahu'alam  

No comments:

Post a Comment