Targetnya sedari awal adalah menamatkan zaman bujang pada
usia 24 tahun. Namun apabila menginjak ke usia 25 tahun dan masih belum
berkahwin, beliau merasa amat lewat dan agak ‘terlajak’. Kegusaran pada
waktu itu menggerakkan hatinya untuk bertemu seseorang yang dipercayai
dan diyakini berupaya bagi mencarikan dan menemukannya dengan seorang
gadis yang dirasakan secocok dan sesuai dengan dirinya.
Dari
Bali beliau terbang ke Yogjakarta setelah dimaklumkan bahawa seorang
perempuan yang dirasakan sesuai, sedia untuk bertemunya. Lalu,
terjadilah pertemuan pertama mereka.
Pak A’an : Setujukah kamu untuk bernikah dengan saya? kalau betul setuju, saya lamar.
Gadis : Setuju
Pak A’an : Kalau begitu, Bismillahirrahmanirrahim.. saya lamar kamu menjadi isteri saya, dan esok saya lamar ke rumah orang tuamu.
Saya
tertanya-tanya… begitu mudah?? Hanya dengan pertemuan yang sekali itu
kedua-dua insan ini dengan senang benar melafazkan janji untuk menjadi
sepasang suami isteri. Tanpa perkenalan selanjutnya, si teruna dengan
yakin berjanji akan melamarnya ‘esok’ dirumah keluarga perempuan. Dengan
persetujuan, pertemuan KEDUA mereka berlaku di kediaman perempuan.
Kata Pak A’an lagi : “Tak ada rasa sayang pun, suka atau apa-apa rasa. Yang ada hanya rasa nak bernikah”.
Dan
hari pernikahan mereka, itulah pertemuan KETIGA. Dari riak wajah ikhlas
Pak A’an, katanya masa hari pernikahan dengan isteri, memang tidak ada
rasa apa.. suka, sayang dan rasa yang sepatutnya ada antara pasangan
bercinta itu sememangnya tiada. Wah.. saya sungguh kagum dengan
kisahnya. Apa yang meyakinkan Pak A’an ialah, pernikahan itu adalah
ibadah. Sama seperti Solat.. semuanya dilakukan untuk Allah. Namun jika
ditinggalkan pernikahan itu, tidaklah berdosa sebagaimana tinggalnya
solat. Pak A’an bernikah atas perintah Allah.
Saya bertanya lagi : Bagaimana Pak A’an begitu yakin bahawa yang dipilih itu adalah calon isteri yang paling baik?
Tenang beliau menjawab: Sedangkan
yang berpacar 5 tahun pun belum tentu lagi nikahnya.. sedang yang
bernikah lama pun akhirnya bercerai-berai. Yakin saja. Nikah itu ibadah,
serah semuanya pada Allah. Isteri saya tidak cantik. Tapi saya yakin
yang saya nak bernikah dengannya, kalau isteri cantik pun hati tak
tenang, bila ke Mall menjadi tatapan orang. Isteri kita untuk kita bukan
untuk orang lain menikmatinya. Tambahan waktu itu bapanya sudah tiada,
beliau anak sulung dari 4 beradik dan ibunya tidak bekerja..
mendengarkan itu terus saya niatkan dalam hati moga saya dapat membantu
dan ini menjadi kebajikan untuk diri saya..
Tapi, bukankah Pak A’an tidak mengenalinya??
Apa perlu buat malam pertama?? [sambil senyum-senyum].
Malam pertama itu, rumahnya (si isteri) kan ramai dengan saudara-mara.
Haa…. pada malam pertama inilah berlakunya ta’aruf antara suami dan
isteri yang baru bernikah. Malam inilah malam ta’aruf dan tafahhum.
Inilah tugasan malam pertama. Pada malam inilah perlu ditetapkan visi
dan misi tujuan pernikahan yang berlangsung itu. Malam inilah saya
berkenalan dengannya. Saya berpacaran dengannya setelah bernikah. Tambah
Pak A’an lagi, kalau kucing dapat daging dibawanya lari, tapi saya tak
perlu nak lari dan curi-curi.. sebab dia isteri saya!.
Ringkas
jawapan Pak A’an. Hakikatnya saya pernah bertemu isterinya dan ternyata
zahirnya teradun sempurna, begitu juga baik tutur katanya. Berbalik
pada tujuan pernikahan yang membawa kepada visi dan misi setelah
bernikah. Setiap pasangan perlu ada misi dan visi yang sama untuk serasi
danselesa bersama!.
Dalam konteks manusia normal, satu
kewajaran lelaki suka dan cenderung kepada perempuan. Fitrahnya Allah
telah tetapkan lelaki dan perempuan itu berpasangan seperti dalam
firmannya;
وَأَنَّهُ ۥ خَلَقَ ٱلزَّوۡجَيۡنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلۡأُنثَىٰ
Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.
[an-najm; 45]
Dan seperti sabda Nabi..
“Wahai para pemuda, siapa diantara kalian yang telah mampu, maka hendaklah ia menikah!"
[HR Imam al-Bukhari dan Muslim]
dalam hadis lain:
"Menikahlah kalian dengan wanita-wanita!”
[HR Imam Abu Dawud dan al-Hakim]
Namun,
bila sudah cukup umur bernikah tetapi merasakan dirinya tidak mampu,
yakinlah Allah berkuasa menjadikan kita mampu. Perkahwinan adalah satu
perintah Allah, dengan firmanNya
وَأَنكِحُواْ
ٱلۡأَيَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ
وَإِمَآٮِٕڪُمۡۚ إِن يَكُونُواْ فُقَرَآءَ يُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن
فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬
Dan
kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan
kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan
perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada
mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
[an-nur;32]
Tetapi bagi belum berkesempatan dan tidak mampu mengendalikan ghairahnya, maka berpuasalah dia seperti sabda Rasulullah;
“Wahai
para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul
beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan
pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum
mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai.”
Dewasa
ini, pelbagai cerita kita dengar. Satu masa dulu negara digemburkan
dengan kisah lelaki bujang dibelasah kerana sukakan perempuan yang sudah
bernikah (isteri orang). Ini memang salah dan bermasalah. Ada juga kes
lelaki yang sudah bernikah suka pada perempuan yang juga telah
bernikah. Ini lagi masalah besar. Berbalik pada kecenderungan lelaki
terhadap perempuan, ia adalah satu kewajaran lelaki bujang suka pada
perempuan bujang. Dan perempuan bujang suka kepada suami orang itu juga –
BOLEH. (tapi minta disimpangkan dari berlaku ke atas saya dan sahabat-sahabat baik saya).
Lumrahnya, lelaki menyukai wanita seperti yang termaktub dalam al-Quran,
زُيِّنَ
لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ
وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ
ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ
ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
Dijadikan indah pada
(pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu:
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda
pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan
hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik-baiknya
(iaitu shurga).
[ali-imran; 14]
Dan
biasa kita dengar bahawa kecenderungan lelaki menyukai perempuan untuk
bernikah itu ada empat [4] iaitu kecantikannya, hartanya, keturunannya
dan agamanya.
Rasullullah telah dahulu mengingatkan umatnya;
"Wanita
itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana
keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu
wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]
Hadis
ini menerangkan bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada
ketaqwaan iaitu dengan memilih perempuan yang beragama. Kita disarankan
agar menjadikan perkahwinan itu sebagai asas mendekatkan diri kepada
Allah Ta'ala
. Perkahwinan yang dibina bukanlah atas dasar cintakan pasangan sahaja tetapi adalah atas
perintah dan cinta kepada Pencipta.
Setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana
Allah. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana Allah, nescaya
mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman
Allah:
وَمِنۡ
ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا
لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةًۚ
إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ
Di
antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian
isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan
merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih
dan sayang.
[ ar-rum;21]
Namun
ada juga individu yang menyekat keinginan bernikah bila mana yang
dihajat tak sampai ataupun telah merasa kecewa dengan pengalaman lalu.
Mereka nekad dengan tidak mahu berkahwin walaupun mereka mampu. Namun
perlu diingat akan peringatan dari Rasulullah;
اَلنِّكَاحُ سُنَّتِي فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيسَ مِنِّي
“Nikah adalah sunnahku, maka sesiapa yang membenci sunnahku maka dia bukanlah dalam golongan umatku.”
Mereka
yang pernah gagal dalam percintaan janganlah terus menutup pintu hati
dan peluang yang datang. Sedarlah semua itu bukan jodoh kita. Allah
telah berfirman dalam kitabNya;
وَعَسَىٰٓ
أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن
تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ
وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
Boleh jadi kamu
benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka
kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah
Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[al-baqarah;216]
Bukankah
Allah itu adil. Lelaki carilah perempuan dan perempuan tidak salah
mencari lelaki asal betul laluannya. Tentunya jodoh itu tidak datang
bergolek. Melayang pun tidak juga. Elakkanlah diri dari dibenci
Rasulullah.
Berkongsi pengalaman Pak A'an, berikut adalah
beberapa perkara penting yang perlu ada pada setiap individu yang ingin
melangkah kealam perkahwinan. Sebelum melaksanakan pernikahan,
antaranya perlu ada dan mengetahui:
1. Kefahaman
Perlu
difahami bahawa pernikahan itu adalah dari Allah dan satu ibadah, bukan
sekadar percampuran dua hati dan dua keluarga, malah lebih dari itu.
Bukan sekadar mencintai pasangan yg dinikah tetapi mencintainya kerana
Allah
2. Hukum
Nikah secara
hukumnya adalah perintah. Ia adalah sunnah. Jika tidak bernikah bukanlah
satu dosa, namun jika dilaksanakan beroleh ganjaran pahala. Sunat
berkahwin pada orang yang ada keinginan kepada wanita, dan dia pula
mempunyai kemampuan sebagai suami dari segi menampung perbelanjaan
keluarga dan memimpin keluarganya. Jika dia tidak berkemampuan haruslah
ditangguhkan dahulu, ini lebih baik daripada terus berkahwin. Jika nafsu
ghairahnya mendesak, lemahkanlah ia dengan berpuasa.
3. Pengorbanan
Kedua-dua
pihak sedia untuk berkorban. Perngorbanan melibatkan bukan saja
materials tetapi lebih kepada perasaan. Perlunya berkorban dari segi
perasaan bilaman lelaki dan perempuan itu hakikatnya mempunya 2 karakter
yang jauh berbeza. Suami atau isteri perlu bijak meletakkan sesuatu
pada tempatnya;
first thing first!
4. Zuriat
Tujuan
perkahwinan itu bukanlah sekadar tuntuan seks semata, walaupun itu
keinginan setiap pasangan yang bernikah. Namun apa yang lebih penting
ialah perkahwinan akan menjadi sebab untuk mendapat zuriat. Zuriat yang
lahir dari suami isteri yang beriman dibesarkan dengan ajaran Islam.
Diasuh supaya menjadi hamba Allah yang cintakan Tuhan dan Islam.
Meramaikan umat Islam itu bukan sekadar angka tetapi bermatlamat untuk
membangun dan memperjuangkan Islam di bumi ini.
Setelah memahami konsep sebenar dalam membina perkahwinan, kita perlu
TEKAD. Tekadlah nikah hanya kerana Allah. Kriteria yang ditetapkan hanya
memenjarakan
diri kita. Segala kelemahan yang ada didalam diri seseorang yang
mendambakan kita akan tertutup bila kita faham konsep dan tujuan sebenar
pernikahan itu. Dua insan boleh dipertemukan atas satu persamaan tapi
perbezaan yang wujud itu kalau dipandang untuk saling melengkapkan
tentunya akan nada keserasian.. Perbezaan yang ada jangan diperbesarkan,
seperti kata ulama:
“Carilah 70
alasan untuk memaafkan sikap saudaramu. Jika hatimu masih tetap enggan
menerimanya juga, maka kekerasan hatimu itu yang lebih patut
disalahkan..”
Akhir kalam..
[peringatan untuk diri saya sendiri] jika datang kepada kita seseorang
yang baik agamanya juga akhlak serta keturunanya.. terimalah dia
seadanya. Jangan terlalu mencari kesempurnaan. Jika telah bertemu
dengan seseorang yang boleh membawa kebaikkan kepada kita, boleh
menerima kita seikhlasnya, mampu mengasihi dan sanggup melindungi kita..
mengapa berlengah lagi?! Jangan cuba memperbandingkannya dengan yang
lain. Jangan terlalu mengejar yang lebih sempurna, akhirnya kita juga
yang akan menyesal bila dia telah berpaling pergi meninggalkan kita..
Yakinlah dengan janji Allah seperti dalam firmanNya:
فَٱذۡكُرُونِىٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡڪُرُواْ لِى وَلَا تَكۡفُرُونِ
Oleh
itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu dan
bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur akan nikmatKu.
[al-baqarah; 152]