Dari Bali beliau terbang ke Yogjakarta setelah dimaklumkan bahawa seorang perempuan yang dirasakan sesuai, sedia untuk bertemunya. Lalu, terjadilah pertemuan pertama mereka.
Pak A’an : Setujukah kamu untuk bernikah dengan saya? kalau betul setuju, saya lamar.
Gadis : Setuju
Pak A’an : Kalau begitu, Bismillahirrahmanirrahim.. saya lamar kamu menjadi isteri saya, dan esok saya lamar ke rumah orang tuamu.
Saya tertanya-tanya… begitu mudah?? Hanya dengan pertemuan yang sekali itu kedua-dua insan ini dengan senang benar melafazkan janji untuk menjadi sepasang suami isteri. Tanpa perkenalan selanjutnya, si teruna dengan yakin berjanji akan melamarnya ‘esok’ dirumah keluarga perempuan. Dengan persetujuan, pertemuan KEDUA mereka berlaku di kediaman perempuan.
Kata Pak A’an lagi : “Tak ada rasa sayang pun, suka atau apa-apa rasa. Yang ada hanya rasa nak bernikah”.
Dan hari pernikahan mereka, itulah pertemuan KETIGA. Dari riak wajah ikhlas Pak A’an, katanya masa hari pernikahan dengan isteri, memang tidak ada rasa apa.. suka, sayang dan rasa yang sepatutnya ada antara pasangan bercinta itu sememangnya tiada. Wah.. saya sungguh kagum dengan kisahnya. Apa yang meyakinkan Pak A’an ialah, pernikahan itu adalah ibadah. Sama seperti Solat.. semuanya dilakukan untuk Allah. Namun jika ditinggalkan pernikahan itu, tidaklah berdosa sebagaimana tinggalnya solat. Pak A’an bernikah atas perintah Allah.
Saya bertanya lagi : Bagaimana Pak A’an begitu yakin bahawa yang dipilih itu adalah calon isteri yang paling baik?
Tenang beliau menjawab: Sedangkan yang berpacar 5 tahun pun belum tentu lagi nikahnya.. sedang yang bernikah lama pun akhirnya bercerai-berai. Yakin saja. Nikah itu ibadah, serah semuanya pada Allah. Isteri saya tidak cantik. Tapi saya yakin yang saya nak bernikah dengannya, kalau isteri cantik pun hati tak tenang, bila ke Mall menjadi tatapan orang. Isteri kita untuk kita bukan untuk orang lain menikmatinya. Tambahan waktu itu bapanya sudah tiada, beliau anak sulung dari 4 beradik dan ibunya tidak bekerja.. mendengarkan itu terus saya niatkan dalam hati moga saya dapat membantu dan ini menjadi kebajikan untuk diri saya..
Tapi, bukankah Pak A’an tidak mengenalinya??
Apa perlu buat malam pertama?? [sambil senyum-senyum]. Malam pertama itu, rumahnya (si isteri) kan ramai dengan saudara-mara. Haa…. pada malam pertama inilah berlakunya ta’aruf antara suami dan isteri yang baru bernikah. Malam inilah malam ta’aruf dan tafahhum. Inilah tugasan malam pertama. Pada malam inilah perlu ditetapkan visi dan misi tujuan pernikahan yang berlangsung itu. Malam inilah saya berkenalan dengannya. Saya berpacaran dengannya setelah bernikah. Tambah Pak A’an lagi, kalau kucing dapat daging dibawanya lari, tapi saya tak perlu nak lari dan curi-curi.. sebab dia isteri saya!.
Ringkas jawapan Pak A’an. Hakikatnya saya pernah bertemu isterinya dan ternyata zahirnya teradun sempurna, begitu juga baik tutur katanya. Berbalik pada tujuan pernikahan yang membawa kepada visi dan misi setelah bernikah. Setiap pasangan perlu ada misi dan visi yang sama untuk serasi danselesa bersama!.
Dalam konteks manusia normal, satu kewajaran lelaki suka dan cenderung kepada perempuan. Fitrahnya Allah telah tetapkan lelaki dan perempuan itu berpasangan seperti dalam firmannya;
وَأَنَّهُ ۥ خَلَقَ ٱلزَّوۡجَيۡنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلۡأُنثَىٰ
Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.
[an-najm; 45]
Dan seperti sabda Nabi..
“Wahai para pemuda, siapa diantara kalian yang telah mampu, maka hendaklah ia menikah!"
[HR Imam al-Bukhari dan Muslim]
dalam hadis lain:
"Menikahlah kalian dengan wanita-wanita!”
[HR Imam Abu Dawud dan al-Hakim]
Namun, bila sudah cukup umur bernikah tetapi merasakan dirinya tidak mampu, yakinlah Allah berkuasa menjadikan kita mampu. Perkahwinan adalah satu perintah Allah, dengan firmanNya
وَأَنكِحُواْ ٱلۡأَيَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَآٮِٕڪُمۡۚ إِن يَكُونُواْ فُقَرَآءَ يُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
[an-nur;32]
Tetapi bagi belum berkesempatan dan tidak mampu mengendalikan ghairahnya, maka berpuasalah dia seperti sabda Rasulullah;
“Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai.”
Dewasa ini, pelbagai cerita kita dengar. Satu masa dulu negara digemburkan dengan kisah lelaki bujang dibelasah kerana sukakan perempuan yang sudah bernikah (isteri orang). Ini memang salah dan bermasalah. Ada juga kes lelaki yang sudah bernikah suka pada perempuan yang juga telah bernikah. Ini lagi masalah besar. Berbalik pada kecenderungan lelaki terhadap perempuan, ia adalah satu kewajaran lelaki bujang suka pada perempuan bujang. Dan perempuan bujang suka kepada suami orang itu juga – BOLEH. (tapi minta disimpangkan dari berlaku ke atas saya dan sahabat-sahabat baik saya).
Lumrahnya, lelaki menyukai wanita seperti yang termaktub dalam al-Quran,
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik-baiknya (iaitu shurga).
[ali-imran; 14]
Dan biasa kita dengar bahawa kecenderungan lelaki menyukai perempuan untuk bernikah itu ada empat [4] iaitu kecantikannya, hartanya, keturunannya dan agamanya.
Rasullullah telah dahulu mengingatkan umatnya;
"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menerangkan bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada ketaqwaan iaitu dengan memilih perempuan yang beragama. Kita disarankan agar menjadikan perkahwinan itu sebagai asas mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Perkahwinan yang dibina bukanlah atas dasar cintakan pasangan sahaja tetapi adalah atas perintah dan cinta kepada Pencipta. Setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana Allah. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana Allah, nescaya mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman Allah:
وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ
Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang.
[ ar-rum;21]
Namun ada juga individu yang menyekat keinginan bernikah bila mana yang dihajat tak sampai ataupun telah merasa kecewa dengan pengalaman lalu. Mereka nekad dengan tidak mahu berkahwin walaupun mereka mampu. Namun perlu diingat akan peringatan dari Rasulullah;
اَلنِّكَاحُ سُنَّتِي فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيسَ مِنِّي
“Nikah adalah sunnahku, maka sesiapa yang membenci sunnahku maka dia bukanlah dalam golongan umatku.”
Mereka yang pernah gagal dalam percintaan janganlah terus menutup pintu hati dan peluang yang datang. Sedarlah semua itu bukan jodoh kita. Allah telah berfirman dalam kitabNya;
وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[al-baqarah;216]
Bukankah Allah itu adil. Lelaki carilah perempuan dan perempuan tidak salah mencari lelaki asal betul laluannya. Tentunya jodoh itu tidak datang bergolek. Melayang pun tidak juga. Elakkanlah diri dari dibenci Rasulullah.
Berkongsi pengalaman Pak A'an, berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu ada pada setiap individu yang ingin melangkah kealam perkahwinan. Sebelum melaksanakan pernikahan, antaranya perlu ada dan mengetahui:
1. Kefahaman
Perlu difahami bahawa pernikahan itu adalah dari Allah dan satu ibadah, bukan sekadar percampuran dua hati dan dua keluarga, malah lebih dari itu. Bukan sekadar mencintai pasangan yg dinikah tetapi mencintainya kerana Allah
2. Hukum
Nikah secara hukumnya adalah perintah. Ia adalah sunnah. Jika tidak bernikah bukanlah satu dosa, namun jika dilaksanakan beroleh ganjaran pahala. Sunat berkahwin pada orang yang ada keinginan kepada wanita, dan dia pula mempunyai kemampuan sebagai suami dari segi menampung perbelanjaan keluarga dan memimpin keluarganya. Jika dia tidak berkemampuan haruslah ditangguhkan dahulu, ini lebih baik daripada terus berkahwin. Jika nafsu ghairahnya mendesak, lemahkanlah ia dengan berpuasa.
3. Pengorbanan
Kedua-dua pihak sedia untuk berkorban. Perngorbanan melibatkan bukan saja materials tetapi lebih kepada perasaan. Perlunya berkorban dari segi perasaan bilaman lelaki dan perempuan itu hakikatnya mempunya 2 karakter yang jauh berbeza. Suami atau isteri perlu bijak meletakkan sesuatu pada tempatnya; first thing first!
4. Zuriat
Tujuan perkahwinan itu bukanlah sekadar tuntuan seks semata, walaupun itu keinginan setiap pasangan yang bernikah. Namun apa yang lebih penting ialah perkahwinan akan menjadi sebab untuk mendapat zuriat. Zuriat yang lahir dari suami isteri yang beriman dibesarkan dengan ajaran Islam. Diasuh supaya menjadi hamba Allah yang cintakan Tuhan dan Islam. Meramaikan umat Islam itu bukan sekadar angka tetapi bermatlamat untuk membangun dan memperjuangkan Islam di bumi ini.
Setelah memahami konsep sebenar dalam membina perkahwinan, kita perlu TEKAD. Tekadlah nikah hanya kerana Allah. Kriteria yang ditetapkan hanya memenjarakan diri kita. Segala kelemahan yang ada didalam diri seseorang yang mendambakan kita akan tertutup bila kita faham konsep dan tujuan sebenar pernikahan itu. Dua insan boleh dipertemukan atas satu persamaan tapi perbezaan yang wujud itu kalau dipandang untuk saling melengkapkan tentunya akan nada keserasian.. Perbezaan yang ada jangan diperbesarkan, seperti kata ulama:
“Carilah 70 alasan untuk memaafkan sikap saudaramu. Jika hatimu masih tetap enggan menerimanya juga, maka kekerasan hatimu itu yang lebih patut disalahkan..”
Akhir kalam.. [peringatan untuk diri saya sendiri] jika datang kepada kita seseorang yang baik agamanya juga akhlak serta keturunanya.. terimalah dia seadanya. Jangan terlalu mencari kesempurnaan. Jika telah bertemu dengan seseorang yang boleh membawa kebaikkan kepada kita, boleh menerima kita seikhlasnya, mampu mengasihi dan sanggup melindungi kita.. mengapa berlengah lagi?! Jangan cuba memperbandingkannya dengan yang lain. Jangan terlalu mengejar yang lebih sempurna, akhirnya kita juga yang akan menyesal bila dia telah berpaling pergi meninggalkan kita.. Yakinlah dengan janji Allah seperti dalam firmanNya:
فَٱذۡكُرُونِىٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡڪُرُواْ لِى وَلَا تَكۡفُرُونِ
Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur akan nikmatKu.
[al-baqarah; 152]