Hasan Basri ditanya : "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini?"

Beliau menjawab :
"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang. Aku tahu amalku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh. Aku tahu ALLAH Ta'ala selalu memerhatikanku, kerana itulah aku malu jika ALLAH melihatku sedang dalam maksiat. Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan ALLAH"..

Wednesday, 18 July 2012

PENIPU aka PENCURI

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.  
[al-Ahzaab; 70-71]


Siakap, senohong, gelama, ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri.
Dari kecil kita diperdengarkan dengan pantun diatas, masa disekolah pula diajar menulis karangan 360 pp berdasarkan pantun yang diberi.  Di rumah, pendidikan tak langsung dari mak ayah menerapkan jangan cuba-cuba membohong, atau lama-kelamaan anda akan berjinak-jinak pula dengan mencuri. Waktu cuti sekolah, dihantar pulang ke kampung, atuk opah pula tak henti menasihat cucu-cucu agar jangan bercakap bohong.

Namun, benarkah mereka yang berbohong seterusnya menjadi pencuri?!
Jika kita renung dan amati, kebiasaannya satu penipuan hanya boleh ditutup dengan penipuan yang lain, hal ini akan berterusan hinggalah kebenaran terbongkar. Suatu kebenaran terhadap penipuan akan hanya terbongkar apabila ia tidak dapat ditutup lagi atau penipuan itu dapat telah dihidu. Bak kata pepatah, bangkai gajah masakan dapat ditutup. Namun, mencuri itu bukanlah semata perbuatan (yang jelas kelihatan) yang melibatkan kehilangan barang atau benda yang sifatnya boleh disentuh. Tetapi yang termasuk dalam klasifikasi mencuri dicirkan seperti berikut:

1. Memindahkan secara bersembunyi dari jangkaan atau pemilik tuannya.
2. Memindahan harta tanpa persetujuan tuannya.
3. Memindahan harta itu dengan niat untuk menghilangkan harta tadi dari pemilik yang hak.

Jelas? dengan ciri yang disebutkan diatas, ternyata menipu dengan niat sekaligus memberi maksud mencuri hak individu yang ditipu (secara tersembunyi). Sebagai contoh yang berlaku di zaman Rasulullah; bilamana kesepakatan penjual dengan pihak ketiga dengan meninggikan harga barangan itu bagi menjerat pengguna lain untuk membelinya. Contoh mudah yang berleluasa berlaku sekarang ialah keadaan dimana sesetengah iklan jualan murah atau harga runtuh. Penjual yang menipu secara tidak langsung mengambil/mencuri hak pembeli bilamana ia merampas hak orang lain (pembeli). Merampas hak orang lain dengan menipu adalah satu bentuk kezaliman. Apatah lagi jika ia membabitkan urusan kepemimpinan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dan penyelewengan.

Adalah haram melakukan perbuatan yang mengandungi unsur penipuan dalam segala bentuk mu’amalat seperti jual beli, sewa beli, gadaian, pinjaman, pertukangan dan juga pekerjaan professional. Daripada Abdullah ibn Umar r.a.: Sabda Rasululullah S.A.W. bermaksud 
“Empat perkara apabila ada pada dirimu maka kamu tidak akan dibuat risau oleh dunia, iaitu menjaga amanah, jujur, berakhlak baik dan menjaga diri dari makanan (haram)”.
Hadith di atas menggambarkan pentingnya memiliki sifat jujur sebagai salah satu sifat peribadi manusia. Para ulama’ bahasa mendefinisikan jujur sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan.


Satu lagi contoh mencuri yang disebabkan pembohongan yang amat sukar dikenal pasti  yang sering kita dengar secara turun-temurun adalah.. men'curi' tulang dan men'curi masa'. Haaa.. simpulan bahasa ini selalu sangat kita dengar. Orang dahulu lebih arif. Mereka terlebih dahulu mengkiaskan pembohongan akhirnya akan melahirkan pencuri. Samada yang dicuri itu berbentuk kebendaan yang boleh disentuh, ataupun hasil curian itu tidak kelihatan seperti 'masa'dan 'tenaga'. Ingatlah rezeki yang mendapat keberkatan itu adalah hasil dari usaha dan titik peluh sendiri. Jangan curi tulang atau bahasa mudah zaman sekarang 'jangan mengular'. Ini juga adalah sendiket mencuri paling sukar dikesan lahir dari alasan-alasan yang direka-reka (kata bohong/dusta). 


Kenapa Islam melarang keras sifat menipu?
Islam adalah agama yang mendidik. Menipu adalah satu sifat yang ditegah kerana ia adalah salah satu ciri atau sifat orang munafiq iaitu apabila bercakap, ia berbohong. Menipu merupakan sifat mazmumah yang perlu dikikis terus dari dalam diri individu. Sesungguhnya ia adalah sifat utama syaitan yang sentiasa memperdaya manusia kearah kesesatan. Maka, wajarkah kita individu muslim berkongsi sifat dengan syaitan yang dilaknat?

Kerasnnya larangan mencuri ini hingga boleh sabit hukuman hudud dan ini terpakai untuk semua samada orang kehormat atau hamba sahaya. Betapa Rasulullah melarang mencuri hingga diriwayatkan pernah baginda bersabda lebih kurang:
Wahai manusia! Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu ialah, manakala seorang yang terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka membiarkannya. Namun bila seorang yang lemah di antara mereka mencuri, maka mereka akan melaksanakan hukum hudud atas dirinya. Demi Allah, sekiranya Fatimah putri Muhammad mencuri, niscaya akan aku potong tangannya. 
[HR Muslim] 
Namun begitu, ada banyak ketetapan hingga membolehkan pencuri dikenakan hukum hudud. 

Kesan dari menipu
Rasulullah s.a.w. memberi amaran keras kepada perbuatan yang mengandungi unsur penipuan kerana sifat orang mukmin itu ialah sentiasa menginginkan kebaikan untuk saudaranya dan perbuatan ini tentu sekali bercanggah dengan tuntutan iman. Sedangkan menipu itu menjurus kepada mencuri yang menganiaya individu lain.


Adapun ramai juga yang beranggapan, menipu dan mencuri itu tidaklah merupakan satu kesalahan bilamana hasil dari dapatan mencuri itu digunakan atau dimanfaatkan bersama. Seperti kisah lagenda tersohor Robin Hood yang melakukan rompakan dan hasilnya dimanfaatkan bersama orang ramai. Ini tidaklah benar sama sekali, jangan dijadikan lagenda Barat ini sebagai panduan. Ibnu ‘Umar r.a katanya; "Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”
Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)
Adalah tertolak sedekah seseorang itu bila barang yang disedekahkan adalah hasil dari mencuri dan menipu. Rasul amat melarang keras sifat mencuri ini. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
“Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.” 
Ancaman ini sangat berat bagi yang mengimani kehidupan yang kekal abadi di sana nanti. Bagi yang pernah terjebak dengan penipuan, sama-samalah kita bertaubat dan tekad tidak akan mengulangi sikap ini. Sesungguhnya Allah sentiasa menantikan taubat dari hambaNya.  

Adakala 'menipu' itu perlu..
Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: 
“Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.”
Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusah untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.


Kesimpulan 
Peringatan untuk diri sendiri dan pembaca, janganlah kita menipu. Berkata benarlah walaupun hakikatnya pahit untuk didengarkan. Jujurlah dalam tindakan kerana setiap gerak perbuatan nyata atau terselindung tidak pernah lepas dari permerhatianNya hatta senyummu itu jika tidak ikhlas tetap dinilai Allah. 

Senyuman yang palsu itu, jika dilihat dengan mata kasar tentunya manis. Namun kepalsuannya berjaya mencuri hati si pemerhati. 

Dan bersempena dengan ketibaan Ramadan Kareem ini, bersama-samalah kita mengawal pertuturan. Jangan sampai berdusta. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: 
Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.
[HR Bukhari]
Dan seseungguhnya, kerana lidah kita mungkin ke NERAKA! 

--------------------------------------------------------------------------------------

Notakaki:
Sifat jujur (siddiq) adalah antara sifat yang dianugerahkan oleh Allah kepada para nabi. Jujur termasuk akhlak yang paling mulia dan paling mudah untuk ditempuh. Jujur merupakan jalan mencapai kedudukan orang-orang mulia. Ia berperanan menjadi pembeza antara jalan orang munafik dan jalan orang beriman kerana asas keimanan adalah kejujuran dan asas kemunafikan adalah kedustaan. Kedua-duanya tidak mungkin seiring. Jujur mempunyai enam tingkatan seperti berikut:

Pertama - jujur dalam ucapan
Jujur lisan/perkataan termasuklah semasa menyampaikan berita baik tentang masa lalu atau masa akan datang selain tepat dalam janji.  

Kedua – jujur dalam niat dan kehendak
Ikhlas dengan niat dan tujuan perbuatan tidak melibatkan (kehendak)  kepentingan peribadi

Ketiga – jujur dalam tekad
Tekad melakukan kebajikan dan kebaikkan hanya kerana Allah 

Keempat – jujur dalam mewujudkan tekad
Jujur dalam pembuktian tekad ketika ada kemampuan untuk melakukannya dan tidak menunda-nunda 

Kelima – jujur dalam amal perbuatan
Bila yang tersembunyi sama dengan yang zahir, itu adalah adil. Adalah satu keeutamaan apabila yang tersembunyi lebih baik dari yang zahir, namun apabila yang nampak lebih baik daripada yang tersembunyi, ia satu pengkhianatan. Maka jujurlah dalam melakukan sesuatu agar mendapat rahmat Allah. 

Keenam – jujur dalam perintah agama
Ia tingkat paling tinggi. Contohnya, jujur dalam berharap, pengagungan Allah, zuhud, redha, tawakal dan seumpamanya.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment